7:25 PM

(0) Comments

Kerajaan Pakatan Perak Tambah 1 Kerusi lagi

Wamli

Sedang UMNO dan BN pusat dan negeri mengeksploitasikan banyak isu mengenai kerajaan Pakatan di Perak tiba-tiba satu kejutan berlaku.Banyak pihak meramalkan akan berlaku banyak kejutan lagi selepas ini termasuk kejutan besar pada Mac nanti.Kita tunggu seterusnya.Berikut adalah berita yang dipetik dari Bernama sebentar tadi.....

MB Perak sahkan Adun Bota sertai Pakatan Rakyat

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nasaruddin Hashim, hari ini menyertai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi berkata, Nasaruddin membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, Pas dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di DUN Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu.

Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan. - Bernama

Ikuti kenyataan media Nassarudin yang dipetik dari Biro Penerangan KeADILan :

Assalamualaikum,

Setelah membuat pertimbangan terutamanya apabila melihat perkembangan suasana politik khasnya arah tuju sokongan rakyat selepas Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008, serta keadaan-keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan ini diambil setelah lama meneliti dan mempertimbangkan kepentingan rakyat seluruhnya khususnya buat para penyokong dan pengundi saya di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota:-

Saya amat yakin dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini.

Saya yakin Parti Keadilan Rakyat akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya percaya Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mampu untuk menjadi sebuah permuafakatan komponen parti-parti yang lebih baik demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Untuk membolehkan saya menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat memandangkan Pakatan Rakyat sudah pun menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.
0 Responses to "Kerajaan Pakatan Perak Tambah 1 Kerusi lagi"

Post a Comment