9:30 AM

(1) Comments

Ingatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Dasar PPSMI: Guru jangan tergesa-gesa

PUTRAJAYA 30 Dis. - Kementerian Pelajaran menasihatkan 350,000 guru yang bernaung di bawah 25 kesatuan jangan tergesa-gesa membuat kenyataan melulu berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom sebaliknya meminta mereka bersabar dan memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat kajian terhadap dasar itu.

Tegas beliau, sesuatu dasar memerlukan penelitian terperinci sebelum keputusan dapat dilaksanakan.

''Setakat ini lima persidangan meja bulat membincangkan dasar ini telah diadakan. Tak baik tergesa-gesa sebab kita perlu fikir masa depan anak-anak, kerajaan tahu apa yang hendak dan perlu dibuat.

''Segala maklumat, surat, memorandum dan e-mel telah dihantar dan disampaikan terus kepada menteri untuk beliau buat keputusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alimuddin mengulas kenyataan Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran semalam yang sudah mengemukakan memorandum rasmi sebulat suara menolak pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah rendah.

Pengerusi majlis permuafakatan itu, Jemale Paiman berkata, mereka mahu kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kedua-dua mata pelajaran berkenaan masing-masing di sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Kesatuan dan persatuan berpendapat, PPSMI hanya wajar dilaksanakan mulai pendidikan menengah selepas murid mendapat pendedahan, pemahaman serta penguasaan asas yang kukuh dua subjek itu melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin menyifatkan cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu agar nama bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail diabadikan dalam bentuk anugerah atau nama institusi pengajian tinggi (IPT), sebagai sangat baik.

''Kita akan pertimbangkan secara mendalam kerana kita tahu ketokohan Allahyarham dalam bidang pendidikan," katanya.

9:17 AM

(0) Comments

Peristiwa Penting

Pelbagai perkara penting berlaku sepanjang tahun 2008 yang dikategorikan sebagai "X-files" yang mewarnai kehidupan rakyat negara ini. Berikutan disajikan sepuluh berita terpenting sepanjang tahun ini.

Adakah kehidupan masyarakat India semakin baik?


Ekoran kejayaan perhimpunan 30,000 orang di Kuala Lumpur November tahun lalu, Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mengharungi tahun ini dengan semangat yang tinggi walaupun lima pemimpin utamanya ditahan di bawah ISA manakala pengerusinya kini hidup dalam buangan di luar negara.

Kebangkitan masyarakat India dan strategi Makkal Sakthi mereka, telah memberi kesan besar terhadap keputusan pilihanraya umum Mac lalu - di mana mereka beramai-ramai menolak BN. Bagaimanapun, Hindraf kini telah diharamkan, dan kini para penyokongnya terus dengan perjuangan mereka mendapat pembebasan pemimpin mereka.

MIC menjadi hampir tidak relevan lagi - Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu tewas di kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak tahun 1974. Ekoran itu, beliau juga kehilangan jawatannya dalam kabinet. Beliau kini jelas sedang berusaha untuk mengukuhkan semula pengaruhnya ke atas masyarakat India dengan melancarkan langkah penjanamaan semula parti ketiga terbesar dalam BN itu.

Bagaimanapun, dengan keadaan kehidupan masyarakat India yang tidak banyak berubah, maka timbul persoalan sama ada MIC boleh benar-benar mendakwa yang ia mewakili mereka dalam kerajaan.

Skandal dalan BN

Malaysiakini melaporkan Julai lalu bahawa dua pegawai kanan anak syarikat kerajaan, Pempena Sdn Bhd, terbabit dalam penyelewengan yang mengalihkan peruntukan jutaan ringgit dana untuk pembangunan pelancongan, kepada pihak lain.

Dalam reaksinya, Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman berkatak juruaudit dalaman akan menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau juga mendedahkan di Parlimen bahawa "beberapa pelabuaran dalam syarikat berkenaan meragukan". Satu laporan yang dikeluarkan dua minggu kemudiannya, mendedahkan bahawa syarikat berkenaan telahmembuat pelaburan yang meragukan yang terpaksa dilupuskan.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyebut tentang portal e-pelancongan yang membabitkan RM10 juta.

Kerajaan juga mengumumkan pembelian 12 unit helikopter Cougar EC-725 dari Eurocopter untuk menggantikan helikopter Nuri, pada kos RM1.6 bilion.

Pengerusi Mentari Services Sdn Bhd, Kapten (B) Zahar Hashim, bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan, mendedahkan "penyelewengan" berlaku dalam urusniaga tersebut dan wujudnya pilihan yang lebih menjimatkan.

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyiasat perkara itu. Walaupun menolak berlaku sebarang penyelewengan, PAC berkata, tiada pemeriksaan dilakukan ke atas helikopter yang dicadang hendak dibeli itu. Ahli parlimen pembangkang mendesak supaya didedahkan laporan penuh mengenai siasatan tersebut.

Sehingga ini, kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter sebut sehingga keadaan ekonomi negara mengizinkan. Bagaimanapun, persoalan yang dibangkitkan oleh Zahar masih belum terjawab.

Pihak istana bersuara...

Pihak istana turut memainkan peranan penting selepas pilihanraya umum Mac lalu, berhubung pelantikan menteri besar di tiga buah negeri - Perlis, Perak dan Terengganu.

Manakala dalam isu fatwa membabitkan senaman yoga, Sultan Selangor, Perak dan Negeri Sembilan menitahkan supaya sebarang keputusan fatwa yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum, dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja terlebih dahulu memandangkan hal-ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja.

Manakala anak-anak Raja juga turut bersuara berhubung isu-isu penting semasa. Misalnya, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menyentuh soal perpaduan dan istimewa orang Melayu ketika berucap di sebuah forum di Kuala Lumpur pada 12 April. Ekoran itu, Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting membantah kenyataan tersebut. Begitu juga dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh, sebelum menyedari kemudiannya bahawa kenyataan itu telah dilaporkan di luar kontak.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut dijemput berucap di beberapa persidangan, termasuk persidangan tahunan hakim-hakim Malaysia pada 19 April. Pandangannya urustadbir yang baik, perpaduan rakyat dan mengenai bidang kehakiman mendapat pandangan dan perhatian yang tinggi.

Bagaimanapun, gesaan supaya dipulihkan imuniti kepada raja-raja berhubung prosiding sivil dan jenayah, tidak begitu mendapat sambutan dari pihak awam. Imuniti tersebut ditarik pada tahun 1993.

2:02 PM

(0) Comments

Islam Hadhari penuh dengan ciri kezaliman

Wamli


Ikuti petikan dari buku "Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari"


oleh -Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Islam yang pernah menguasai wilayah yang begitu besar dan luas dari bekas jajahan takluk dua kuasa besar dunia, Rom dan Parsi, begitu juga wilayah lain, telah memerintah dengan adil sehingga Islam dikira menjadi penyelamat dan pembebas bangsa yang dijajah.

Islam yang pernah menguasai wilayah yang begitu besar dan luas dari bekas jajahan takluk dua kuasa besar dunia, Rom dan Parsi, begitu juga wilayah lain, telah memerintah dengan adil sehingga Islam dikira menjadi penyelamat dan pembebas bangsa yang dijajah.

Sebelum kedatangan Islam, mereka telah diperintah dengan begitu zalim oleh kerajaan sebelumnya. Kerajaan Islam telah diterima oleh penduduk dengan penuh sukarela dalam keadaan mereka tidak dipaksa menganut Islam.

Mereka telah berpegang dan beramal dengan agama asal masing-masing. Mereka juga dibenarkan bekerja dan memiliki harta. Kerajaan Islam diwajibkan berlaku adil terhadap mereka. Ini adalah perintah agama Islam yang sentiasa mengambil kira perhitungan dosa dan pahala di hadapan Allah, bukan kerana masalah duniawiyyah.

Sikap ini telah menyebabkan penduduk di wilayah yang diperintah telah menerima sistem Islam secara rela hati. Sehingga hari ini masih terdapat keturunan asal warga bukan Islam yang terus menganut agama mereka dan juga masih terdapat rumah-rumah ibadat mereka yang dibina sejak ribuan tahun yang lalu tanpa diroboh dan diganggu-gagat oleh kerajaan Islam.

Suasana ini masih terdapat di Mesir, Yaman, Parsi (Iran), India dan lian-lain. Selepas pembukaan wilayah baru Islam, hanya segelintir pegawai Islam ditinggalkan menjadi pemimpin dan pentadbir di tengah-tengah majoriti besar masyarakat bukan Islam.

Warga bukan Islam di wilayah-wilayah baru ini lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam, dan akhirnya menganut Islam.

Bangsa-bangsa yang menganut Islam, begitu juga yang kekal dengan agama asal telah memberi sumbangan besar kepada Hadrah Islamiyah dalam segenap bidang.

Terdapat di kalangan keturunan mereka yang menganut Islam telah menjadi ulama terbilang seperti imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Al-Ghazali dan lain-lain. Selain menjadi tokoh dalam bidang ilmu agama, ramai dari mereka yang menjadi tokoh ilmu duniawi seperti Ibnu Sina dan Al-Khawarazmi.

Mereka ini bukan dari kalangan berbangsa Arab, tetapi turut sama memberi sumbangan yang besar menyalurkan ilmu ke dalam bahasa Arab ikut melahirkan Hadrah Islamiyah.

Islam Hadhari ciptaan Umno mundur ke belakang

Buku-buku dalam bahasa asing telah diterjemah ke dalam bahasa Arab. Istilah berbagai ilmu juga ditukar ke dalam bahasa Arab. Bukan seperti Islam Hadhari ciptaan Umno, mundur ke belakang kepada suasana zaman penjajahan, dengan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris.

Bahkan mereka bertindak lebih daripada penjajah seperti melaksanakan strategi bagi mematikan penggunaan huruf jawi. Cara yang mereka lakukan ini begitu membahayakan akidah dan budaya. Melalui perdagangan ilmu, mereka telah menjual maruah bangsa dan bahasa sendiri.

Sesungguhnya Islam telah berjaya mengumpulkan ilmu yang diambil daripada pelbagai bangsa dan bahasa. Is ditajdidkan semula dengan disadurkan prinsip dan sifat Islam.

Selain dari itu, ilmu-ilmu tadi telah diterjemah ke dalam bahasa Islam (Arab) oleh para ilmuan Islam terbilang, yang akhirnya telah berjaya melahirkan Hadharah Islamiyah yang berbeza dengan tamadun yang lain.

Bertolak daripada keadilannya yang menguasai hati manusia yang bersirikan Islam, maka bangsa dan negeri yang menganut Islam telah menjadi penyumbang kepada Hadharah Islamiyah.

Sementara Islam Hadhari ciptaan Umno, sebenarnya penuh dengan ciri-ciri kezaliman. Undang-undang yang digubal melalui akta-akta sebenarnya tidak bersifat Hadharah (tamadun). Undang-undang yang digubal lebih bermatlamat untuk menjaga kedudukan dan kepentingan kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya.

Selain dari itu ianya bertujuan untuk mengongkong kebebasan ilmu, melalui akta universiti yang menekan para pensyarah dan pelajar. Mereka membelenggu media, menutup penyelewengan mereka di atas nama menjaga rahsia rasmi (OSA), tetapi sebenarnya menjaga dan melindung tokoh-tokoh yang tidak bermaruah.

Mereka akan bertindak ke atas sesiapa sahaja kalau dikritik dengan tajam, walaupun is benar. Tindakan yang dilakukan adalah di atas nama keselamatan dalam negeri (ISA) dan lain-lain.

Semuanya ini adalah langkah yang membantut perkembangan intelektual dan kebijaksanaan rakyat bagi melahirkan hadrah (tamadun). Kalaupun Islam Hadahri ini berjaya mencapai kemajuan kebendaan, ia hanya akan membakar diri sendiri senasib dengan tamadun jahiliyah pada zaman silam.

Peristiwa kehakiman yang menimpa mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah lembaran sejarah jahiliyah moden yang menconteng kemurnian badan kehakiman yang sepautnya wajib dipertahan dan dipelihara.

Lebih malang lagi apabila maruah sudah tidak adalam dalam kehidupan. Semua pihak yang tidak peka dengan peristiwa seperti ini wajar ditanya ke mana perginya iman seperti yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Tiadalah seorang Nabi yang telah dibangkit oleh Allah sebelumku, melainkan Allah mengadakan baginya di kalangan umatnya para pengikut yang setia dan para sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikut perintahnya, kemudian tinggallah selepas mereka (setelah Nabi tu wafat), pengikut yang menyeleweng, mereka berkata apa yang tidak dilakukan (dalam keadaan ada kemampuan) dan melakukan apa yang tidak diperintah (oleh agama).

Maka sesiapa yang berjihad menentang (kemungkaran) dengan tangannya, maka dia beriman, yang berjihad dengan lidahnya dia beriman dan yang berjihad dengan hatinya juga dia beriman, tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sebenar biji yang paling halus." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Seterusnya amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila kamu melihat umatku merasa kegerunan (tidak ada yang berani) berkata kepada si zalim : Wahai si zalim! Maka diucap selamat tinggal kepada mereka. Mengikut riwayat yang lain, perut bumi lebih baik dari permukaannya (lebih baik ditimbus ke dalam kubur." Hadis riwayat Imam Ahmad. -

(Daripada buku : Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari, muka surat 103-107)

9:52 PM

(1) Comments

Siapa sebenarnya anti hukum Hudud? UMNO atau DAP?



 Apabila kita membicarakan soal hukum hudud, bererti kita akan membicarakan suatu hukum yang diturunkan oleh Allah bukan hukum yang dicipta oleh manusia. Apabila hukum itu diperintahkan oleh Allah, maka sebagai hambanya tidak wajar kita mempermainkan atau mempersendakan hukum tersebut, apatah lagi kita menentang hukum tersebut dengan apa cara sekali pun. Isu berkaitan hudud ini bukan baru bagi Parti PAS, dan bagi PAS hukum ini adalah di antara beberapa hukum yang diperintahkan oleh Allah untuk dilaksanakan, akan terus diperjuangkan oleh PAS sehingga hari kiamat.

Hukum hudud juga bukan asing bagi UMNO mendengarnya. UMNO adalah parti Melayu yang berjuang atas dasar kebangsaan, maka sebab itu UMNO tidak berminat untuk membicarakan soal hukum ini. UMNO lebih suka `mempromosikan' hukum yang tiada kaitan langsung dengan Islam bahkan ditentang oleh Islam. Akta ISA salah satu contoh di mana UMNO begitu mempertahankannya, malahan sanggup hilang rakan sekutunya demi Akta zalim ini. Apabila pemimpin PAS bersuara tentang hukum hudud ini, UMNO akan mengambil kesempatan ini bukan untuk membantu merealisasikannya, bahkan akan mencari jalan untuk menunjukkan kepada rakyat betapa hukum ini akan ditolak. Maka, UMNO akan mengambil dalil beberapa kenyataan pemimpin yang Non Muslim dari parti-parti yang sekutu dengan UMNO atau pun yang sekutu dengan PAS. Apakah tujuan UMNO ini ? Tujuannya hanya satu, iaitu bagi mempastikan PAS akan menempuh jalan yang getir dan sukar untuk melaksanakan hukum Allah ini. Tetapi benarkah PAS akan menyerah dengan tektik UMNO ini ? Sudah tentu tidak, PAS bukan terdesak untuk menjual maruah dan prinsip Islamnya semata-mata untuk menyenangkan hati perut UMNO.

Apa yang nyata, musuh utama dan penghalang utama bagi PAS untuk melaksanakan hukum hudud ini adalah UMNO. Walaupun DAP, MCA, Gerakan atau MIC secara terang-terangan menentang hukum hudud ini, tetapi PAS tidak pernah menganggap pemimpin-pemimpin yang Non Muslim di dalam parti tersebut sebagai penghalang atau musuh utama bagi PAS. Pas lebih awal kenal siapa musuh Islam yang hakiki. UMNO lebih kuat menentang hudud melalui kuasa yang ada padanya sekarang. DAP contohnya, hanya mengeluarkan pendapat menentang hukum Allah ini, tetapi UMNO lebih rakus dan zalim sehingga menggunakan kuasa dan undang-undang manusia untuk menentang undang-undang Allah. Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS menjadi mangsa kerakusan tersebut. Negeri Terengganu walau sepenggal diperintah oleh PAS suatu ketika, sedetik pun tidak dibenarkan melaksanakan hukum Islam ini hinggakan ugutan dibuat bahawa pihak Polis, pihak Keselamatan dan pihak Penjara tidak akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Terengganu di bawah PAS waktu itu sekiranya hukum Hudud dilaksanakan. Begitulah hati perut UMNO terhadap hukum ini. Di Negeri Kelantan, usaha dari pemimpin UMNO (kini telah dipecat) membawa kes ini ke Mahkamah untuk menyaman Kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hukum Islam ini sebagai bukti betapa UMNO terlalu anti dengan hukum hudud ini. Jelas lah pada kita, UMNO lah sebenarnya yang begitu agresif menentang hukum Islam ini bukannya pihak lain.

UMNO tidak perlu menuding jari kepada PAS, DAP atau PKR di atas isu ini. Mereka perlu bertanya kepada diri mereka sendiri secara jujur dan ikhlas. Jika PAS mempunyai cita-cita dan usaha ke arah melaksanakan perintah Allah tersebut, adakah mereka (UMNO) mempunyai cita-cita dan usaha ke arah itu ? Jika jawapannya tidak, mereka sendiri telah menempatkan diri mereka ke dalam golongan atau kumpulan yang sama dengan golongan yang Non Muslim itu. Jika UMNO benar-benar ikhlas untuk mendaulat Islam, mereka yang kini tunjang kepada Kerajaan Pusat sekurang-kurang berani mengusulkan di Parlimen untuk meminda Perlembagaan agar Hukum Islam termasuk hukum syariah, hudud dan Qisas dapat dilaksanakan. Kita yakin seratus peratus, jika usul ini dibawa sudah tentu ianya akan disokong oleh semua MP dari PAS, dan tidak mustahil ada juga MP-MP dari DAP, PKR, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti akan turut menyokong. Ini adalah kerana bukan semua pemimpin dari parti tersebut menolak hukum ini. Masalahnya, beranikah UMNO berbuat demikian ? Sudah tentu tidak, kerana di dalam Perhimpunan Agung parti mereka sendiri mereka langsung tidak membicarakan soal ini, masakan mereka berupaya untuk membicarakan soal ini di dalam perhimpunan yang lebih luas.

Justeru itu, apabila UMNO sememangnya tidak berminat untuk membicarakan soal hukum Islam ini, usaha PAS hendaklah diteruskan sehinggalah Hukum Hudud ini dapat dilaksanakan walau pun mengambil masa beribu-ribu tahun lagi. Almarhum Ustaz Fadzil Noor meninggal dunia tanpa dapat melihat hukum ini terlaksana walaupun beliau telah berjuang sepanjang hayatnya. Saya mencadangkan agar pimpinan Pakatan Rakyat agar dapat mengadakan `Seminar' atau `bengkel' kepada semua ADUN dan MP dari Pakatan Rakyat bagi memperjelaskan lebih terperinci berkaitan hukum Islam ini. Program ini hendaklah berterusan dan Ulamak-Ulamak dari PAS, ABIM, Persatuan Ulamak Malaysia, Pendakwah Bebas atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan di dalam bidang ini untuk menjadi tenaga pengajar atau penceramah. Apabila program ini dapat dilaksanakan, kita akan dapat mengenalpasti mengapa dan kenapa mereka-mereka ini menentang Hukum Hudud tersebut. Apa yang saya sarankan ini adalah sejajar dengan kehendak MB Selangor baru-baru ini yang lebih suka peranan ini dimainkan oleh PAS yang mempunyai aset dan kredibiliti membicarakan isu ini.

Tidak mustahil suatu masa nanti, pemimpin-pemimpin dari DAP, MCA, Gerakan. MIC dan lain-lain yang terdiri dari Non Muslim akan lebih awal menerima hukum hudud daripada pemimpin UMNO. Kita merancang, Allah yang akan menentukan. Akhirnya, UMNO akan terkubur sebagaimana Parti Komunis Malaya juga telah berkubur di dalam lipatan sejarah.

9:13 PM

(0) Comments

KT Uji Pemulihan BN Selepas Permatang Pauh

SETELAH gagal menguburkan karier politik Anwar Ibrahim --- mengguna pakai slogan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin --- di Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, Umno menghadapi cabaran yang lebih besar di Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Umno dan Barisan Nasional boleh berdalih dalam kekalahan teruk di Permatang Pauh. Kerusi itu kubu Anwar sejak tahun 1982 dan dipegang bagi pihaknya oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sejak pilihan raya umum 1999.

Cakap besar dan gagal belajar daripada penolakan pengundi pada pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah antara sebab besar Umno dan BN kalah dengan lebih teruk di Parmatang Pauh.

Pertaruhan di Kuala Terengganu lebih besar ertinya bagi Umno dan BN. Tidak seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu adalah milik BN.

Calon BN pada PRU 8 Mac, Allahyarham Datuk Razali Ismail, mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu, dengan kelebihan 628 undi sahaja.

Kerusi ini kini mempunyai 80,229 pemilih berdaftar, termasuk 1,035 pengundi pos, yang terdiri daripada 88.2 peratus Melayu, 10.9 peratus Cina dan 0.6 peratus India.

BN telah menamakan senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebagai calonnya manakala Pas akan mengumumkan calonnya pada 1 Januari.

BN meletakkan nilai yang tinggi kepada Kuala Terengganu apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak berkata:

“Kita mesti memenangi Kuala Terengganu kerana kita mahu menjadikannya permulaan kepada pemulihan BN daripada kekalahan di Permatang Pauh."

Soalnya, apakah persediaan BN akan lebih mantap daripada di Parmatang Pauh?

Sama ada dirancang atau spontan, tindakan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membangkitkan soal Hukum Hudud dalam perbahasannya dengan Naib Presiden Pas, Husam Musa, boleh menjadi senjata makan tuan.

Walaupun debat itu telah mencetuskan perselisihan faham antara Pas dengan DAP ia boleh juga membawa mudarat kepada Umno.

Kenyataan Husam bahawa Pas akan tetap melaksanakan Hukum Hudud apabila keadaan mengizinkan telah menimbulkan kemarahan orang kuat DAP, Lim Kit Siang, yang berkata Hukum Hudud bercanggah dengan dasar Pakatan Rakyat yang komited kepada pengekalan Malaysia sebagai negara sekular.

Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran, bagaimanapun, yakin pengundi Cina Kuala Terengganu tidak akan terpengaruh dengan isu Hukum Hudud yang katanya dimainkan oleh BN.

Kalau Khairy bercadang memerangkap Pas dengan membangkitkan isu itu, dia mungkin telah melakukan kesilapan taktik yang besar.

Selama ini Pas mendakwa ia tidak dapat melaksanakan Hukum Hudud di negeri-negeri yang diperintahnya kerana dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pas hanya perlu memulangkan paku buah keras dengan menyoal Umno mengapa, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, ia tidak melaksanakan Hukum Hudud sedangkan ia berkuasa di Parlimen dan boleh meminda Perlembagaan.

Pada teorinya, pelaksanaan apa jua dasar dan hukum oleh kerajaan negeri boleh dilaksanakan jika tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kini, dengan bilangan yang lebih ramai di Parlimen, parti-parti komponen PR boleh memainkan perasan yang lebih besar meminda Perlembagaan.

Dengan membuka semula debat mengenai Hukum Hudud, Pas boleh memalukan BN, khasnya Umno, dengan meminta Parlimen mendebatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkannya melaksanakan hukum itu di Kelantan.

Dengan 23 Ahli Parlimen, Pas boleh memberi kemenangan kepada pindaan itu jika disokong oleh wakil-wakil BN. Atau setidak-tidaknya menguji pendirian Ahli Parlimen Umno dan Ahli Parlimen PKR yang beragama Islam.

Jadi bahas Hukum Hudud yang didalangi oleh Khairy kononnya untuk memerangkap dan memalukan Husam dan Pas itu boleh menjadi senjata makan tuan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Hatta inilah juga hujah Kulasegaran. Katanya DAP menghormati hasrat Pas melaksanakan Hukum Hudud tetapi ianya tertakluk kepada parti itu memperoleh sokongan dua-pertiga di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Soalnya apakah DAP akan menyokong Pas di Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya Hukum Hudud boleh dilaksanakan?

Apatah lagi Kulasegaran sendiri berkata tidak apa yang perlu ditakutkan oleh orang bukan Islam kerana Hukum Hudud hanya untuk orang Islam.

Kesimpulannya, bagi BN mempertahankan Kuala Terengganu adalah lebih penting daripada memenangi Permatang Pauh.

Tetapi jika BN mengulangi kesilapan yang dilakukannya di Permatang Pauh, kemungkinan ia kehilangan Kuala Terengganu adalah besar.

Bagi Pas pula, merampas Kuala Terengganu adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang dan bukanlah suatu yang mustahil kerana ia pernah beberapa kali mengusai kerusi itu.

Ini adalah pertandingan di mana kedua-dua belah pihak boleh menang atau kalah hanya dengan mengelakkan kesilapan.

12:32 AM

(0) Comments

Khutbah Guru sebagai Murabbi

Wamli

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Rakan-rakan semua ,,hayatilah petikan khutbah yang dikirim oleh salah seorang rakan bloggers kita.....


RASULULLAH S.A.W QUDWAH PENDIDIK SEPANJANG ZAMAN


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan pada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian agar bertakwa kepada Allah S.W.T. Hanya dengan takwa sahaja kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dan hanya dengan takwa sahaja kita akan dibimbing dan dididik oleh Allah S.W.T Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:

“Dan bertakwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mendidik kamu”.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,

Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting dan amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh kerana itu Islam amat mengambil berat mengenai pendidikan umat Islam. Al-Quran diturunkan dengan misi pendidikan yang amat jelas dimana ayat pertama yang disampaikan kepada Rasulullah S.A.W. melalui Jibril ialah IQRA ,

Ertinya:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.

(Surah al-Alaq ayat 1 – 5)

Ini sebagai satu isyarat betapa untuk kita memulakan sesuatu langkah itu kita perlu belajar terlebih dahulu. Rasulullah S.A.W. sebagai utusan Allah untuk menjelaskan kepada umatnya mengenai risalah Islamiah yang dibawa, sekaligus baginda berperanan sebagai guru dan pendidik.

Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.”

Rasulullah merupakan contoh terunggul dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai pendidik Rasulullah S.A.W. berjaya membangun para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman, bersedia berkorban apa saja pada jalan Allah, dan akhirnya mereka ini menjadi aset terpenting untuk Islam yang sanggup mengorbankan jiwa, tenaga, harta benda dan kekayaan demi untuk Islam.

Ini adalah hasil pendidikan Imaniyah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendidik bukan hanya dengan teori tetapi lebih banyak disampaikan melalui amali yang bersumberkan diri Rasulullah S.A.W sendiri.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab berterusan sepanjang hayat, ianya tidak berakhir dengan kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, maka kita sebagai penyambung generasi adalah bertanggungjawab melaksanakan misi pendidikan ini.

Para pendidik yang berkecimpung secara khusus dalam bidang pendidikan tidak pernah dilupakan, hari ini 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut setiap tahun adalah satu anugerah, satu pengiktirafan dan penghargaan kepada warga guru yang sentisa berjuang dan berusaha me-realisasikan aspirasi Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Pendidikan yang dikenali di mata dunia.

Selain keperluan prasarana pendidikan yang mencukupi, program-program yang terancang, kepimpinan yang berwibawa dan kerjasama dari para ibu bapa, keberkesanan pendidikan banyak bergantung kepada guru-guru yang menjalankan amanah sebagai mu’allim iaitu menyampaikan ilmu, sebagai murabbi; iaitu mengasuh dan mendidik serta membimbing anak-anak didik dengan penuh kasih sayang, sebagai mu’addib yang membentuk akhlak dan menerapkan nilai-nilai murni, dan seterusnya sebagai muthabbit; iaitu membina keyakinan dan jati diri kepada anak-anak didik melalui contoh teladan yang terbaik.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Oleh kerana peranan guru bukan setakat mengajarkan ilmu secara teori sahaja, tetapi adalah untuk mendidik, mengasuh dan membim-bing anak-anak didik bagi memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteleks, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Di mana usaha ini digarap bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.

Maka untuk merealisasikan harapan ini, para pendidik mestilah melaksanakan usaha-usaha pendidikan itu berdasarkan Falsafah Pendidikan al-Quran yang menggariskan tiga dimensi penting yang perlu diikuti :

1. Memberi petunjuk dan motivasi yang mengarahkan kepada pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani untuk mencapai martabat insan soleh dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

2. Memberi penekanan tentang aspek-aspek pendidikan yang perlu dilaksanakan dalam proses membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dirahmati Allah.

3. Memberi penekanan pendekatan yang berkesan untuk mendidik dan membimbing manusia ke arah mencapai kegemilangan dan kecemerlangan dalam merealisasikan fungsi manusia sebagai khalifah Allah dengan petunjuk dan hidayah-Nya.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,

Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan al-Quran dan berdasarkan aspirasi Negara dalam bidang pendidikan, tugas seorang guru tidak semudah yang disangkakan, kewujudan warga guru yang berupaya melaksanakan tugas-tugasnya adalah satu kemestian dalam menjana ketamadunan ummah, kerana ketamadunan sesuatu bangsa itu diukur dari ketinggian ilmu dan keperibadian bangsa itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:

Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.

KAUM MUSLIMIN YANG

BERBAHAGIA,

Peredaran masa menuntut pengorbanan yang lebih besar dari para guru untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di luar sekolah, untuk memandu masyarakat kearah kebaikan dalam agenda amar makruf dan Nahi mungkar. Dan sebagai seorang guru yang memikul amanah besar dalam agenda pendidikan dan pembangunan insan, maka kualiti guru mesti ditingkatkan melalui latihan yang berterusan, kemahiran dalam bidang-bidang yang berkaitan perlu diterokai, kekuatan jati diri perlu dimantapkan untuk menjadikan guru sebagai qudwah dan role model yang disegani oleh anak-anak didik.

Dan kita tidak dapat menafikan segala bakti dan pengorbanan yang telah ditaburkan oleh guru-guru, apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah sebahagian dari hasil perjuangan dan pengorbanan guru-guru terdahulu, Negara kini diterajui oleh pemimpin-pemimpin berwibawa yang diasuh oleh guru-guru yang berkualiti, dan pengorbanan mereka wajar kita sanjungi dan hargai. Allah S.W.T. mengangkat darjat orang-orang beriman dan berilmu seperti yangb ditegaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 :

Ertinya :

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di-antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)”.

Seterusnya sama-samalah kita berdoa agar kita semua diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah Allah dalam agenda pendidikan, membangun insan kerana semua kita adalah murabbi sekurang-kurang sebagai pendidik kepada diri sendiri agar tidak alpa dan melupakan Allah S.W.T. Doa kita untuk para guru yang telah kembali kerahmatullah semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan menempatkan mereka bersama para anbiya, syuhada dan solehin.

8:36 AM

(0) Comments

Berita Lanjut Isu Balak Terengganu

Ekoran pendedahan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said sebagaimana yang didedahkan media, Angkatan Muda Keadilan dan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu masing-masing bersepakat akan mengemukakan laporan kepada pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap kemungkaran tersebut.

Ketua AMK Terengganu Fariz Musa yang ditemui kelmarin berkata pihaknya akan bersama-sama Dewan Pemuda PAS membuat laporan tersebut dibalai polis Kuala Terengganu dan kemudiannya akan mengiringi pimpinan DPPNT memfailkan laporan kepada BPR pula.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua angkatan muda dan pemuda-pemuda Islam untuk bersama-sama menyertai rombongan tersebut bagi memberikan sokongan moral serta solidariti Pakatan Rakyat menjelang Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang akan berlangsung Januari depan.

Setiuasaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah ketika dihubungi petang kelmarin mengesahkan pihaknya akan membuat laporan tersebut,

Menurutnya, teknikal laporan telah diselesaikan oleh Setiusaha Kerja DPPNT, Ustaz Nasir dan InsyaAllah laporan terhadap kemungkaran mencuri harta rakyat tersebut akan dbuat.

Justeru beliau menuntut kepada semua pemuda Islam yang cintakan amal ma’aruf nahi mungkar untuk turut sama memberikan sokongan.

“Laporan tersebut akan dibuat sekitar jam 1.00 tengahhari di balai polis Kuala Terengganu sebelum mereka bergerak ke pejabat BPR untuk membuat laporan yang sama”,kata Fariz Musa