3:12 PM

(0) Comments

FENOMENA GERHANA ANNULAR / SEPARA MATAHARI

Gerhana annular terjadi apabila Bulan berada di antara Bumi dan Matahari. Keadaan ini akan menyebabkan terjadinya bayang (umbra dan penumbra) dan menyebabkan kawasan yang terkena bayang ini akan mengalami gerhana. Lihat rajah di bawah.



Rajah : Gerhana Annular terjadi apabila Bulan berada di atara Bumi dan Matahari.

Kawasan laluan yang akan mengalami gerhana annular bermula dari bahagian selatan lautan Atlantik kemudian bergerak ke arah timur menentasi benua Afrika, lautan Hindi, Indonesia dan berakhir di Mindanao, Filipina. Titik gerhana annular maksimum ialah di lautan Hindi pada jam 07:58:39 UT dengan tempoh annular ialah 7 minit 54 saat dan lebar laluan gerhana 280km. Kedudukan altitud Matahari ketika itu 73 darjah dari ufuk laut.



Kawasan yang berada diluar laluan annular ini akan mengalami gerhana separa Matahari.


Laluan gerhana Annular ditunjukkan dengan jalur yang gelap, manakala kawasan yang di luar dari jalur annular akan mengalami gerhana separa. Di Malaysia hanya mengalami gerhana separa Matahari. Sebahagian tempat di Indonesia akan mengalami gerhana Annular.


Laluan gerhana annular ini akan merentasi sebahagian besarnya lautan Hindi dan akan mencecah daratan di selatan Sumatera dan barat Jawa. Di antara bandar yang akan dilalui ialah Kotabumi dan Telukbetung. Di lokasi ini akan mengalami gerhana annular selama 6 minit 18 saat dengan altitud Matahari 25 darjah dari ufuk. Seterusnya gerhana ini akan merentasi bandar Samit dan Samrinda di Kalimantan, di sini fenomena yang menarik dapat dilihat kerana Matahari seperti cincin api yang terang ketika Matahari hampir ghurub di ufuk Barat.

Di Malaysia tidak berpeluang melihat gerhana Annular kali ini, kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana ini berlaku di negara ini ialah pada tahun 1998.Pada 26 Januari 2009 kita di Malaysia hanya berpeluang menyaksikan gerhana separa. Gerhana ini akan bermula selepas jam 4 petang dan berakhir sebelum terbenam Matahari di ufuk Barat.

Di Melaka gerhana Annular ini bermula dengan sentuhan pertama pada jam 4:30 petang. Fasa maksimum berlaku apabila 67% permukaan Matahari dilindungi Bulan pada jam 5:50 ptg. Fasa terakhir pada jam 6:58ptg. Selepas ini Matahari akan kelihatan normal seperti biasa.

Langkah-langkah yang selamat melihat gerhana

AWAS! Jangan melihat terus ke Matahari dengan mata kasar kerana ini akan menyebabkan retina mata rosak kekal serta merta.

Langkah yang selamat untuk melihat gerhana ialah dengan menggunakan penapis suria (solar filter) yang boleh menapis cahaya Matahari dan selamat digunakan.



Cara yang mudah dan selamat ialah dengan menggunakan kaedah kamera lubang jarum. Kaedah ini mudah dilakukan iaitu dengan menebuk satu lubang kecil dengan jarum pada kadbod dan satu lagi kad dijadikan sebagai skrin. Halakan kadbod yang telah ditebuk lubang kearah Matahari dan pastikan cahaya Matahari melalui lubang tersebut. Seterusnya lihat cahaya yang keluar dari lubang tersebut jatuh di atas skrin kadbod. Kita akan dapat lihat bentuk Matahari yang sedang mengalami gerhana.

Selain itu filem hitam-putih yang telah didedahkan sepenuhnya kepada cahaya juga boleh digunakan. Untuk lebih selamat hendaklah menggunakan dua lapis filem dan lihatlah Matahari dengan pastikan tiada cahaya luar yang lepas masuk kedalam mata. AWAS! Gunakan filem hitam-putih sahaja bukan filem warna.

Menggunakan kaca kimpalan gred 14 atau lebih tinggi juga boleh digunakan.
AWAS! Jangan gunakan sunglasses walaupun hitam kerana ia tidak selamat.



CARA-CARA SEMBAHYANG GERHANA MATAHARI

Pengertian
Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Al-Khusuf (gerhana bulan) digunakan ketika cahaya bulan terlindung sama ada sebahagian atau semuanya. Walau bagaimanapun, kedua-dua kalimah ini boleh digunakan dengan makna gerhana matahari atau gerhana bulan.

Sembahyang gerhana matahari dan bulan disyariatkan dengan tujuan supaya orang Islam kembali dan bermunajat kepada Allah Azawajalla agar dihilangkan bala dan dikembalikan cahaya.

Masa Disyariatkan
Sembahyang gerhana matahari telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Manakala sembahyang gerhana bulan pula disyariatkan pada tahun kelima hijrah.

Hukumnya
Hukum sembahyang gerhana ialah sunat muakkad kerana sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim (914)yang bermaksud :

Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda kebesaran Allah Taala: Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang dan kerana hidupnya seseorang, oleh itu apabila kamu melihat gerhana berlaku, maka bersembahyang dan berdoalah sehingga hilang apa yang berlaku (menimpa) kamu iaitu bala kegelapan.

Juga kerana Rasulullah s.a.w telah melakukannya sebagaimana yang akan disebutkan.

Perintah sembahyang dalam hadis di atas tidak ditafsirkan dengan makna wajib berdasarkan hadis lain yang bermaksud:

Seorang Badwi bertanya Nabi s.a.w tentang sembahyang lima waktu. Kemudian dia berkata: Adakah lagi sembahyang yang wajib ke atasku selain itu? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. Melainkan kamu melakukan yang sunat. (Al-Bukhari (46) dan Muslim (11).

Sembahyang gerhana matahari dan bulan sunat dilakukan secara berjemaah dan diseru ketika hendak mendirikannya dengan kalimah : (sembahyang yang menghimpunkan)

Cara mendirikan

Sembahyang gerhana matahari dan bulan mempunyai dua rakaat dan orang yang melakukannya hendaklah berniat sembahyang gerhana matahari atau gerhana bulan.

Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:

Cara Pertama

Dilakukan pada setiap rakaat dengan dua kali berdiri, dua kali membaca(Fatihah dan ayat) serta dua kali rukuk tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan rukuk, kemudian berdiri, membaca dan rukuk). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali rukuk seperti sembahyang Jumaat. Tetapi dia dianggap telah meninggalkan fadhilat sembahyang tersebut kerana berlawanan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Cara Kedua

Iaitu cara yang lebih sempurna. Dilakukan pada setia rakaat dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Fatihah, surah al-Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di rakaat pertama. Untuk berdiri kali kedua di rakaat pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat.

Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama di rakaat kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua di rakaat kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat surah al-Baqarah. Kemudian apabila rukuk maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang bacaan 100 ayat, rukuk kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, rukuk ketiga sekadar 70 ayat dan rukuk keempat sekadar 50 ayat.

Apabila sembahyang telah sempurna, maka Imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah. Rukun-rukun dan syarat-syaratnya adalah sama dengan dua khutbah Jumaat dengan mendorong orang ramai supaya bertaubat dan melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai dan terpedaya.

Kemudian, jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika untuk gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.

Sembahyang Gerhana Tidak Diqadak

Apabila seseorang itu luput waktu sembahyang gerhana matahari dan bulan; matahari atau bulan telah muncul (sepenuhnya) sebelum sembahyang didirikan, maka ia tidak dituntut menqadakkannya. Ini kerana sembahyang gerhana merupakan sembahyang yang disertai dengan sebab-sebabnya yang tertentu. Apabila sebab tersebut hilang maka luputlah tuntutan mendirikannya. Gerhana matahari atau bulan dikira berakhir apabila matahari atau bulan muncul sepenuhnya.

Mandi untuk Sembahyang Gerhana

Disunatkan mandi bagi mendirikan sembahyang gerhana matahari dan bulan. Mandi tersebut dilakukan sebelum menunaikan kedua-duanya sebagaimana mandi untuk sembahyang Jumaat. Ini kerana kedua-dua sembahyang gerhana mempunyai maksud yang sama dengan sembahyang Jumaat dari segi berhimpun dan disunatkan berjemaah.

Sumber Rujukan : Kitab Fikah Mazhab Syafie Oleh Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, Ms 244-247.
0 Responses to "FENOMENA GERHANA ANNULAR / SEPARA MATAHARI"

Post a Comment