8:26 AM

(0) Comments

Menyandar harapan pada Pakatan Rakyat hapuskan PPSMI!

Isu PPSMI perlu perhatian semua pihak -Prof Dr Awang Sariyan


Prof. Dr Awang Sariyan, salah seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Sekali lagi Harakah mendapatkan pandangan beliau mengenai isu terkini. Ikuti temubual Wartawan NYZA AYOB bersama beliau yang juga Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia � China, Universiti Pengajian Asing Beijing baru-baru ini. Dr Awang juga bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

HARAKAH: Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussin mengatakan akan meneruskan dasar PPSMI ini walaupun mendapat bantahan daripada pejuang bahasa. Apa respons Prof?

PROF. DR AWANG SERIYAN: Soal ada ugutan atau tidak, beliau mesti berfikir secara rasional. Bukan ertinya meneruskan pelaksanaan tersebut disebabkan ada ugutan. Jika tidak ada ugutan pun dia harus menghentikan juga pelaksanaan PPSMI itu kerana rasional telah diberikan. Kajian telah dibuat, pandangan telah diberikan baik dari segi falsafah, dari segi dasar negara dan dari segi amalan atau praktiknya PPSMI itu tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Bahkan ia akan menjerumuskan kita kepada satu bencana. Jadi, tanpa ugutan pun dia patut berfikir secara rasional dan menghentikan dasar yang tidak betul itu. Dasar itu tidak betul dari segi dasar negara kerana bertentangan dengan Dasar Kebangsaan, Akta Pendidikan 1986 serta akta-akata lain termasuk Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada pandangan Prof, adakah tindakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi bantahan dasar ini, betul-betul dapat mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI ini?

Boleh atau tidak itu soalan kita. Ini kerana kuasa eksekutif itu terletak di tangan kerajaan yang memerintah. Kita ada amanah dan tanggung jawab serta pandangan. Dan ini mesti dilihat secara serius sebagai satu sumbangan pemikiran. Kalau pemikir dan ahli ilmu tidak lagi dihormati, kerajaan mestilah berani menanggung akibat seperti dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud "Apabila ahli ilmu tidak lagi dihormati,tibalah saat kehancuran sesuatu bencana itu".

Itu amaran yang diberikan dalam al-Quran. Kita memang tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan dasar tersebut tetapi kita hanya boleh mendesak atas dasar ilmiah serta atas dasar rasional.

Jadi, mereka mesti membuka pintu hati walaupun hati telah tertutup, tetapi masih ada ruang untuk membuka pintu hati bagi memikirkan rasional PPSMI itu dihentikan.

Saya berharap dengan adanya gerakan seperti ini bagi membentuk perarakan mengadap Yang Di Pertuan Agung dan perarakan keranda 152 oleh Gapena, diharap akan menjadi satu bentuk momentum daripada usaha kita selama ini.

Yang mana usaha kita selama ini dengan pelbagai cara seperti bantahan melalui seminar, melalui memorandum serta pertemuan secara bersemuka dengan pemimpin-pemimpin.

Tidakkah langkah yang diambil ini agak lewat?

Hishamudin pernah menyatakan dahulu, kenapa sekarang kumpulan-kumpulan ini membantah. Gerakan ini tidak boleh dianggap satu gerakan yang lewat kerana sejak dahulu lagi kita berjuang mempertahankan isu ini. Tetapi kita berbudi bahasa.

Kita bercakap secara ilmiah serta berunding secara halus. Tetapi jika itu juga tidak difahami, ada usaha yang lebih dapat membuka mata mereka iaitu dengan gerakan secara lebih agresif, tetapi masih dalam lingkungan undang-undang.

Kita melaksanakan himpunan 'halal' dan diharap akan diberi permit. Ini merupakan perhimpunan suara rakyat bukannya perhimpunan menentang kerajaan. Jika mereka faham, perhimpunan ini sebenarnya menyokong kerajaan kerana mempertahankan dasar negara. Jika kerajaan salah bertindak, kita mesti tegur kerana itulah peranan ahli ilmu atau pemikir.Nanti kita pula dituduh tidak memberi pandangan.

Ada yang berpandangan pihak lain tidak boleh mengubah dasar ini kecuali Umno sendiri...

Kita tidak mengatakan Umno sahaja boleh ubah tetapi kerajaan yang memerintah. Jadi, kerajaan sekarang adalah Barisan Nasional (BN). Sepatutnya semua parti dalam Barisan Nasional bermuhasabah dan meneliti kesilapan yang telah berlaku. Seterusnya mereka harus kembali kepada dasar yang betul. Kuasa di tangan kerajaan.

Harapan Prof terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan BN yang akan menerima memorandum daripada Gerakan Mansuhkan PPSMI ini pada 15 Januari ini di Kuala Terengganu Ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu?

Harapan saya ialah agar pemimpin ini akan berfikir secara rasional dan menerima kebenaran. Sebenarnya apa yang dikemukakan dalam memorandum ini adalah perkara yang telah bertahun-tahun kami kemukakan sejak PPSMI dijadikan dasar pada 2002.

Memorandum daripada kami ini harus dilihat ikhlas daripada pejuang bahasa, cendikiawan, pemikir dan ahli ilmu. Ia tidak harus dianggap remeh dan tidak menghormati pemikir-pemikir yang sebenarnya dihasilkan oleh negara untuk membantu negara.

Kalau mereka meremehkan ilmu budayawan dan cendikiawan, ertinya negara ini tidak memerlukan golongan cendekiawan dan ahli ilmu. Dan mungkin hanya memerlukan ahli ekonomi sahaja.

Sudah berkali-kali Prof membangkitkan isu PPSMI ini. Mungkin ada lagi yang masih terbuku di hati Prof mengenai isu ini setelah berkali-kali menyuarakan tentangan dan bantahan?

Saya sudah lama dan banyak kali meluahkan mengenai isu ini. Hingga tidak tahu apa lagi yang hendak dinyatakan. Cuma apa yang dapat saya nyatakan lagi, kita jangan melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar yang telah diputuskan sendiri.

Kita yang cipta dasar itu tetapi kita yang menentang. Ini adalah munafik. Kita yang membuat dasar itu, iaitu Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan sendiri. Kenapa itu pula yang dilanggar?

Harapan Prof?

Saya berharap mereka (BN) jangan menjadi golongan hipokrit, lain yang dibuat lain yang dilaksanakan.
0 Responses to "Menyandar harapan pada Pakatan Rakyat hapuskan PPSMI!"

Post a Comment