6:26 PM

(1) Comments

Menteri Pelajaran pertahan cadangan benar guru kelas A berpolitik

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan cadangan untuk membenarkan guru kumpulan A berpolitik, asalkan tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Hishammuddin yang juga menteri pelajaran bimbang, sekiranya guru tidak diberi ruang dalam politik, ia akan menjejaskan hala tuju parti untuk mendekati rakyat.

"Cadangan saya itu bersyarat, semangat guru juga penting dalam politik, lihat sahaja kewujudan Umno ia bermula dengan semangat guru-guru.

"Mereka inilah yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat. Saya bimbang jika semangat dan komitmen ini tidak diberi ruang dalam parti, hala tuju parti dalam usaha mendekati rakyat akan terjejas," katanya, lapor Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bahawa cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan golongan pendidik.

Hishammuddin sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM). Beliau yang juga Presiden ke-43 Pertubuhan Menteri- Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) akan melepaskan jawatan itu kepada menteri pendidikan Thailand Ahad ini.

"Dalam hal ini sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan dan pendapat mereka supaya apabila keputusan dibuat nanti semua pihak akan berpuas hati," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin tidak menafikan perjuangan para pejuang bahasa dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau menjelaskan setiap keputusan yang akan dibuat berhubung isu itu, akan mengambil kira fakta, angka dan kajian terperinci dan bukan berasaskan pertimbangan populariti atau politik.

Katanya, keputusan hasil kajian itu akan diserahkan kepada kabinet tidak lama lagi untuk tujuan ulasan.
1 Response to "Menteri Pelajaran pertahan cadangan benar guru kelas A berpolitik"
Anonymous said :
April 2, 2009 at 6:33 PM
Larang tak larang kita guru dah lama bergiat dalam politik UMNO dan PAS.Cuma yang bengangnya sekarang kenapa guru sokong Umno ok manakala guru pro pembangkang tak ok?
Guru UMNO tak masuk kelas tak apa, guru pro pembangkang yang selalu kena ugut. Kalau guru kelas A lagi ramai sokong pembangkang....

Post a Comment