11:09 AM

(0) Comments

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah, Nizar masih MB - Pengamal Undang-undang

Susulan kemelut politik yang berlaku di Perak berikutan empat Adun berpaling tadah menyokong Barisan Nasional, Pengamal Undang-undang, Abdullah Abdul Karim menegaskan kerajaan negeri masih sah dipegang Pakatan Rakyat.

Ketika dihubungi pagi tadi, peguam tersebut menyatakan selagi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak mengumumkan sebarang keputusan samada memperkenan pembubaran Dun atau sebaliknya, kerajaan negeri yang ada masih sah.

"Selagi Sultan tidak membuat keputusan, kerajaan yang ada masih sah.Apa yang dibuat BN yang mendakwa memiliki majoriti membentuk kerajaan tidak boleh menggugat apa-apa," katanya.

Sebaliknya jika Sultan memperkenankan pembubaran Dun, satu pilihan raya kecil akan diadakan, katanya.

"Kuasa Sultan sahaja yang boleh menentukan samada kerajaan negeri yang baru boleh dibentuk.Jadi pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa mereka memiliki majoriti tidak mendatangkan.

Sebaliknya pembentukan boleh dibuat dengan Sultan memberi perkenan kepada pelantikan Menteri Besar yang baru dari kalangan anggota yang dipercayai baginda mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota dewan, katanya.

Sementara itu Pensyarah Undang-undang,Dr Shad Saleem Faruqi dalam satu ulasannya menyatakan kerajaan negeri yang ada hari ini masih sah.

Ini kerana katanya, Sultan masih belum membuat keputusan berhubung memperkenan cadangan Menteri Besar Perak berhubung pembubaran Dun.

Meskipun BN mendakwa memiliki majoriti bagi membentuk kerajaan, namun Menteri Besar yang ada hari ini masih sah selagi Sultan tidak memanggil mana-mana Adun untuk membentuk kerajaan baru, katanya.

"MB yang ada hari ini masih sah memegang kuasa," tegasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin berkata tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh Pengerusi BN Perak, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Katanya, beliau masih menjadi ketua kerajaan negeri sehinggalah Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri.

Ataupun, katanya, BN perlu mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya untuk memaksa beliau meletakkan jawatan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh malam tadi, Mohd Nizar berkata saranan Najib yang juga timbalan perdana menteri itu, tidak mencerminkan apa yang terkandung dalam perlembagaan negeri Perak.

Menurut perlembagaan Perak, kata Mohd Nizar, Pakatan masih merupakan sebuah kerajaan yang sah kecuali dewan undangan negeri bersidang untuk meluluskan undi tidak percaya atau jika kerajaan Pakatan meletak jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa proses menukar kerajaan "tidak sama seperti menukar 'arung kopi".

Mohd Nizar juga membidas Najib kerana didakwanya cuba mengambil alih kuasa di Perak melalui cara yang tidak sah.

Sebaliknya, kata beliau, Najib hanya mahu menakut-nakut rakyat dan melakukan sesuatu tanpa menghormati perlembagaan. _
0 Responses to "Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah, Nizar masih MB - Pengamal Undang-undang"

Post a Comment