12:32 AM

(0) Comments

Khutbah Guru sebagai Murabbi

Wamli

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Rakan-rakan semua ,,hayatilah petikan khutbah yang dikirim oleh salah seorang rakan bloggers kita.....


RASULULLAH S.A.W QUDWAH PENDIDIK SEPANJANG ZAMAN


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan pada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian agar bertakwa kepada Allah S.W.T. Hanya dengan takwa sahaja kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dan hanya dengan takwa sahaja kita akan dibimbing dan dididik oleh Allah S.W.T Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:

“Dan bertakwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mendidik kamu”.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,

Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting dan amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh kerana itu Islam amat mengambil berat mengenai pendidikan umat Islam. Al-Quran diturunkan dengan misi pendidikan yang amat jelas dimana ayat pertama yang disampaikan kepada Rasulullah S.A.W. melalui Jibril ialah IQRA ,

Ertinya:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.

(Surah al-Alaq ayat 1 – 5)

Ini sebagai satu isyarat betapa untuk kita memulakan sesuatu langkah itu kita perlu belajar terlebih dahulu. Rasulullah S.A.W. sebagai utusan Allah untuk menjelaskan kepada umatnya mengenai risalah Islamiah yang dibawa, sekaligus baginda berperanan sebagai guru dan pendidik.

Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.”

Rasulullah merupakan contoh terunggul dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai pendidik Rasulullah S.A.W. berjaya membangun para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman, bersedia berkorban apa saja pada jalan Allah, dan akhirnya mereka ini menjadi aset terpenting untuk Islam yang sanggup mengorbankan jiwa, tenaga, harta benda dan kekayaan demi untuk Islam.

Ini adalah hasil pendidikan Imaniyah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendidik bukan hanya dengan teori tetapi lebih banyak disampaikan melalui amali yang bersumberkan diri Rasulullah S.A.W sendiri.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab berterusan sepanjang hayat, ianya tidak berakhir dengan kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, maka kita sebagai penyambung generasi adalah bertanggungjawab melaksanakan misi pendidikan ini.

Para pendidik yang berkecimpung secara khusus dalam bidang pendidikan tidak pernah dilupakan, hari ini 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut setiap tahun adalah satu anugerah, satu pengiktirafan dan penghargaan kepada warga guru yang sentisa berjuang dan berusaha me-realisasikan aspirasi Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Pendidikan yang dikenali di mata dunia.

Selain keperluan prasarana pendidikan yang mencukupi, program-program yang terancang, kepimpinan yang berwibawa dan kerjasama dari para ibu bapa, keberkesanan pendidikan banyak bergantung kepada guru-guru yang menjalankan amanah sebagai mu’allim iaitu menyampaikan ilmu, sebagai murabbi; iaitu mengasuh dan mendidik serta membimbing anak-anak didik dengan penuh kasih sayang, sebagai mu’addib yang membentuk akhlak dan menerapkan nilai-nilai murni, dan seterusnya sebagai muthabbit; iaitu membina keyakinan dan jati diri kepada anak-anak didik melalui contoh teladan yang terbaik.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,

Oleh kerana peranan guru bukan setakat mengajarkan ilmu secara teori sahaja, tetapi adalah untuk mendidik, mengasuh dan membim-bing anak-anak didik bagi memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteleks, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Di mana usaha ini digarap bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.

Maka untuk merealisasikan harapan ini, para pendidik mestilah melaksanakan usaha-usaha pendidikan itu berdasarkan Falsafah Pendidikan al-Quran yang menggariskan tiga dimensi penting yang perlu diikuti :

1. Memberi petunjuk dan motivasi yang mengarahkan kepada pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani untuk mencapai martabat insan soleh dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

2. Memberi penekanan tentang aspek-aspek pendidikan yang perlu dilaksanakan dalam proses membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dirahmati Allah.

3. Memberi penekanan pendekatan yang berkesan untuk mendidik dan membimbing manusia ke arah mencapai kegemilangan dan kecemerlangan dalam merealisasikan fungsi manusia sebagai khalifah Allah dengan petunjuk dan hidayah-Nya.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,

Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan al-Quran dan berdasarkan aspirasi Negara dalam bidang pendidikan, tugas seorang guru tidak semudah yang disangkakan, kewujudan warga guru yang berupaya melaksanakan tugas-tugasnya adalah satu kemestian dalam menjana ketamadunan ummah, kerana ketamadunan sesuatu bangsa itu diukur dari ketinggian ilmu dan keperibadian bangsa itu sendiri.

Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:

Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.

KAUM MUSLIMIN YANG

BERBAHAGIA,

Peredaran masa menuntut pengorbanan yang lebih besar dari para guru untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di luar sekolah, untuk memandu masyarakat kearah kebaikan dalam agenda amar makruf dan Nahi mungkar. Dan sebagai seorang guru yang memikul amanah besar dalam agenda pendidikan dan pembangunan insan, maka kualiti guru mesti ditingkatkan melalui latihan yang berterusan, kemahiran dalam bidang-bidang yang berkaitan perlu diterokai, kekuatan jati diri perlu dimantapkan untuk menjadikan guru sebagai qudwah dan role model yang disegani oleh anak-anak didik.

Dan kita tidak dapat menafikan segala bakti dan pengorbanan yang telah ditaburkan oleh guru-guru, apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah sebahagian dari hasil perjuangan dan pengorbanan guru-guru terdahulu, Negara kini diterajui oleh pemimpin-pemimpin berwibawa yang diasuh oleh guru-guru yang berkualiti, dan pengorbanan mereka wajar kita sanjungi dan hargai. Allah S.W.T. mengangkat darjat orang-orang beriman dan berilmu seperti yangb ditegaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 :

Ertinya :

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di-antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)”.

Seterusnya sama-samalah kita berdoa agar kita semua diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah Allah dalam agenda pendidikan, membangun insan kerana semua kita adalah murabbi sekurang-kurang sebagai pendidik kepada diri sendiri agar tidak alpa dan melupakan Allah S.W.T. Doa kita untuk para guru yang telah kembali kerahmatullah semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan menempatkan mereka bersama para anbiya, syuhada dan solehin.

0 Responses to "Khutbah Guru sebagai Murabbi"

Post a Comment