9:04 AM

Rentetan demi rentetan isu yang timbul selepas PRU 12 baik secara tiba-tiba dan terancang terutamanya di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) semakin menyerlahkan sikap pemimpin Umno sebenarnya.
Sikap UMNO mengenai isu lompat parti misalnya semakin terjawab berikutan isu terbaru di Perak.UMNO kini jelas mempunyai pendirian yang berubah-rubah "hanyut" mengikut kepentingan dalam menghadapi isu berkenaan.
Mereka menyiarkan Interview-interview kononnya rakyat benci dan geli apabila ada wakil rakyat yang berhasrat atau ingin melompat parti bermula sejak MP SUPP di Sabah sehinggalah terbaru apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Dato Nasaruddin Hashim keluar Umno dan mengisytiharkan diri menyertai PKR. Selepas itu hari-hari kita mendengar dan membaca kenyataan keras pemimpin Umno dan BN melalui media massa yang begitu anti kepada lompat parti.
Apa yang menarik selepas pengumuman Adun Bota keluar dari BN , pemimpin Umno mengecamnya dengan berbagai kata-kata dan tuduhan keras malah ada yang mencadangkan supaya digubal akta anti-lompat parti dan sebagainya.Pemimpin PAS juga mencadangkan agar ditambah sedikit iaitu Adun yang lompat parti boleh bertanding semula.
Lucunya kenyataan pemimpin Umno segera berubah dengan serta merta apabila Adun Behrang dan Cangkat Jering yang dikatakan akan 'melompat' menyertai Umno/BN.Secara spontan nada kecaman berubah menjadi pujian malah Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Badawi sendiri yang turut mengecam Adun Bota tiba-tiba memuji tindakan dua Adun KeADILan itu sebagai tindakan yang bijak.
Seperti kata Dato Husam Musa di dalam blognya "sikap para pemimpin Umno seperti ini membuka peluang kepada lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan menyertai PR.Beliau berkata, jika para pemimpin Umno dan BN boleh menerima ADUN PR melompat parti menyertai parti pemerintah itu, mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai undang-undang anti lompat malah mereka tidak lagi boleh menyekat lebih ramai ADUN dan Ahli Parlimen mereka menyertai PR.
Husam seterusnya berkata "Jika Umno dan BN boleh menerima adanya ADUN PR menyeberangi parti itu, Umno dan BN sepatutnya tidak lagi boleh menyekat ADUN dan Ahli Parlimen mereka lebih ramai menyertai PR.
"Ini peluang terbuka kepada lebih ramai ADUN dan Ahli Parlimen Umno dan BN membuat keputusan mereka dalam masa terdekat, lebih-lebih selepas patern pemilihan UMNO selesai akhir Mac ini," kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Husam juga menyifatkan Umno dan BN lebih tergugat kedudukannya dengan sikap para pemimpin Umno itu.
"Kalau akhbar The Star online pagi ini menulis kerajaan Perak di ambang tumbang dengan isu dua ADUN ini, kedudukan kerajaan BN lebih-lebih lagi tergugat.
"Ia mungkin tumbang dengan polisi kerajaan BN bahawa bertukar pemain diizinkan. Satu lagi penyeberangan, Umno akan goyang," katanya.
Rakyat sepatutnya mudah memahami isu di sebalik kenyataan para pemimpin Umno, malah bukan sahaja rakyat harus membuat pendirian terhadap pemimpin Umno berkenaan bahkan harus memutuskan sendiri baik buruknya negara diperintah oleh pemimpin pragmatik seperti Umno.
Rakyat perlu sedar bahawa sejarah lompat parti di negara ini sebenarnya memberi keuntungan kepada BN dan bukannya pembangkang. Justeru apabila dibangkitkan isu akta lompat parti pemimpinnya dilihat tidak begitu gembira kecuali beberapa kerat pemimpin Umno yang buta sejarah kerana sejarah lompat parti dahulu memberi kelebihan kepada Umno/BN, malah pernah dua kerajaan negeri Terengganu dan Sabah serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dahulu adalah contoh nyata bagaimana Umno/BN berkuasa kembali hasil daripada lompat parti dan kini mereka cuba mengulanginya di Perak.
Demi mencapai prinsip Machiavelli, Umno menggunakan saluran mahkamah untuk memansuhkan Anekmen Anti-lompat yang digubal kerajaan negeri Sabah dan Kelantan dahulu yang menyaksikan BN berkuasa di Sabah dan mengembalikan dua Adun BN yang kalah dalam pilihan raya ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Akhirnya wahai rakyat tanyalah para pemimpin Umno/BN, PAS dan PBS di Sabah dan bekas pemimpin Semangat 46 mengenai sejarah lompat parti di Malaysia, siapa yang untung dan adakah keuntungan itu akan bertukar tangan? Kita lihat seterusnya apa yang menarik selepas ini.
Jikalau Allah hendak menjatuhkan sesebuah kerajaan pertahankan bagaimana sekali pun ianya akan jatuh jua....Bacalah sejarah....
0 Responses to "UMNO dan BN buat-buat Buta sejarah"
Post a Comment